Friday, January 21, 2011

Sejarah Hulu Terengganu


Sejarah Awal

Hulu Terengganu dikenali sebagai FO-LO-AN sejak abad ke 12 lagi berdasarkan buku sejarah Cina bernama "Ling Wai-Tai Ta" karangan Cau-Cu-Fei pada tahun 1178. Pada masa itu daerah ini adalah sebagai bandar pelabuhan yang menjadi tumpuan pedagang-pedagang dari segenap pelusuk alam Melayu, Timur Tengah dan China bagi menjalankan kegiatan ekonomi. Ahli-ahli sejarah berpendapat Foloan yang disebut dalam buku tersebut ialah Kuala Berang.

Berdasarkan buku sejarah berkenaan, hal ehwal Foloan di ceritakan seperti berikut:


" Hasil keluaran Negeri itu (Foloan) termasuklah " Su" dan "Can" ( Jenis-jenis kayu Gahru ), kayu Laka, Gading dan lain-lain seumpamanya ; dan hasil-hasil itu diperniaga diperniagakan dengan emas, perak, porselin, besi, bahan-bahan membuat barnis, arak, beras, gula dan gandum. Tiap-tiap tahun Kerajaan Foloan itu menghantar ufti kepada kerajaan "San Fo Cih" (Seri Wijaya).

Negeri itu (Foloan) berjiran dengan "Peng-Heng" (Pahang), Teng-ya-nu" (Terengganu)" dan Ci-lan-tan (Kelantan) dan negeri-negeri itu bersamaan keadaannya."

Berdasarkan keterangan itu ternyatalah Kuala Berang pernah menjadi pusat perniagaan yang utama di Asia Tenggara disamping Seri Wijaya dalam kurun masihi yang ke 12. Selain daripada itu, disinilah juga berlakunya Perlantikan Kesultanan Terengganu Pertama.

Daerah ini juga terbukti merupakan tempat terawal menerima Agama Islam di semenanjung Tanah Melayu berdasarkan catitan pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 M (702 H) yang dijumpai di Kampung Buloh, Hulu Terengganu.

Di samping itu, daerah Hulu Terengganu juga pernah menjadi tempat kunjungan dan tempat bermastautin tokoh-tokoh ulama seperti yang dibuktikan dengan penemuan makam-makam lama seperti Makam Tok Raja Ri di Kampung Kuala Por, Makam Tok Pauh di Kampung Pauh, Makam Tok Gajah di Kampung Pasir Nering, Makam Tok Berlian Mahmud di Kampung Kemat, Makam Tun Indera di Kampung Kuala Por dan Makam Sharif Mohammad al-Baghdadi di Kampung Jenagor.

Hulu Terengganu juga pernah menjadi tumpuan pahlawan-pahlawan Melayu seperti Tok Gajah, Dato` Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau dan lain-lain lagi di awal abad ke 19. Daerah ini dijadikan sebagai kubu dan tempat persembunyian mereka bagi mengatur strategi menentang penjajahan Inggeris pada ketika itu. Antara peristiwa yang masih menjadi ingatan sehingga ke hari ini ialah Peristiwa Padang Kacong di Kuala Telemong.


Kesultanan Terengganu Pertama

Sultan Zainal Abidin 1 adalah putera Tun Habib Abdul Majid, Bendahara Johor. Baginda telah dilantik sebagai Sultan Terengganu yang pertama di Kampung Tanjung Baru, Hulu Terengganu pada tahun 1708 Masihi. Menurut catatan, beliau telah dilantik sebagai Sultan Terengganu oleh Nang Chayang, Raja Pattani. Manakala menurut Tuhfatul Nafis baginda telah ditabalkan oleh Daeng Menambun setelah mendapat perintah dari Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah Johor. Pusat pemerintahan baginda ialah di Tanjung Baru. Sebelum berpindah ke Kampung Langgar kemudian ke Kampung Pulau Manis dan Chabang Tiga.

Seterusnya baginda berpindah ke Kuala Terengganu dan menetap di satu tempat yang kemudiannya dikenali sebagai Kota Lama. Baginda mempunyai beberapa orang isteri iaitu perempuan Muar, Nang Rugayah (Cik Puan Besar), anak Tuk Pulau Manis dan anak Dato' Wan Ismail. Anakanda baginda ialah Ku Tana Wangsa, Ku Tana Ali, Ku Tana Ismail, Ku Tana Mansur dan Ku Tana Embong. Baginda mangkat pada tahun 1733 dan jenazah baginda dimakamkan di atas Bukit Keledang Kuala Terengganu.


Makam Bersejarah

   
a) Makam Rok Raja Ri

Makam ini terletak di Kuala Por kira-kira 2 km dari Bandar Kuala Berang. Beliau berkemungkinan orang yang mengisytiharkan perundangan di Batu Bersurat (Raja Mandalika). Pendapat lain pula menyatakan Tok Raja Ri seorang pendakwah dan Pembesar Istana yang datang bersama Pergisyhtiharan Batu Bersurat.



b) Makam Tok Pauh

Nama Tok Pauh yang sebenarnya ialah Sheikh Abdullah bin Abdul Kahar berasal dari Negeri Arab. Beliau ialah bapa kepada Tok Pulau Manis (Sheikh Abdul Malek bin Abdullah). Beliau seorang ulama yang terkenal dan adalah dijangka hayatnya dalam tahun 1960-an. Makam beliau terletak di Kampung Pauh 6 km dari Bandar Kuala Berang.



c) Makam Tok Gajah

Nama Tok Gajah yang sebenarnya Iman Rasu bin Shahrum dan gelarannya ialah Orang Kaya Iman Indera Gajah Pahang. Beliau ialah salah seorang daripada pahlawan-pahlawan Pahang yang terlibat dalam pemberontakan di Negeri Pahang tahun 1893 - 1895. Semasa beliau berumur 56 tahun iaitu tahun 1901, beliau meninggal dunia di Kampung Pasir Nering, terletak kira-kira 8 km dari Bandar Kuala Berang.



d) Makam Tok Belian Mahmud

Tok Belian Mahmud dipercayai seorang pembesar dan pemerintah di Tersat. Beliau juga seorang pahlawan yang datang bersama Sultan Zainal Abidin 1 pada tahun 1726 M. Makam beliau terletak di Kampung Kemat kira-kira 13 km dari Bandar Kuala Berang.



e) Makam Tok Tun Indera

Tun Indera dipercayai seorang pembesar dan pemerintah Daerah serta seorang pahlawan yang datang semasa perlantikan Sultan Zainal Abidin 1 di antara tahun 1726 M. Malam beliau di Kampung Kuala Menjing, Tersat kira-kira 9 km dari Bandar Kuala Berang.



f) Makan Syarif Muhammad Al-Baghdad

Makam tersebut terletak kira-kira 15 km dari Bandar Kuala Berang, di tebing sebelah kiri mudik ke Empangan Kenyir tidak jauh bersetentangan dengan Batu Belah. Beliau berasal dari Negeri Arab dan dipercayai pendakwah Islam yang awal di Daerah Hulu Terengganu. Beliau juga merupakan moyang kepada Tok Pulau manis ( Syeikh Abdul Malek bin Abdullah )




Batu Bersurat


Pada Tahun 1887, Batu Bersurat telah dijumpai di kawasan Padang Tara, ditepi Sungai Tara, di kampung Buloh, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Kemudian pada tahun 1902, batu ini dijumpai pula oleh Saiyed Husin bin Ghulam Al-Bukhari, seorang ahli perniagaan di bahagian tangga surau Kampung Buloh yang dijadikan alas membasuh kaki untuk naik ke tangga surau tersebut. Batu itu telah patah sebahagian disebelah atasnya.


Saiyed Husin meminta Penghulu Ali dan orang kampung mengangkat dan meletakkannya di atas rakit untuk dibawa ke Kuala Terengganu. Sampai di Kuala Terengganu, batu ini telah dipersembahkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Zainal Abdidin III dan kemudian batu itu diletakkan di atas Bukit Puteri. Pada tahun 1922 Timbalan Penasihat Inggeris di Terengganu Encik H.S Peterson meminta seorang jurufoto berbangsa Jepun, N.Suzuki mengambil gambar dan dihantar kepada C.O. Blegden untuk dibuat pembacaan.

Batu ini ditulis di dalam bahasa Melayu dengan tulisan jawi bertarikh 702 hijrah. Tulisan pada batu ini menerangkan, Islam sebagai agama rasmi dan hukum-hukum Islam mengenai perbuatan maksiat dan kenyataan-kenyataan palsu beserta dengan hukuman mengikut taraf seseorang.

Pada tahun 1923, batu ini telah dihantar ke Muzium Singapura dengan jalan pinjaman. Apabila Muzium Negara di Kuala Lumpur siap dibina, Batu Bersurat tersebut telah dibawa ke Kuala Lumpur sebagai pinjaman dari Muzium Raffles Singapura.

Pada 12 Februari 1987, Kerajaan Negeri Terengganu telah menulis surat kepada Jabatan Muzium menyatakan hasrat untuk mendapat kembali Batu Bersurat untuk dijadikan bahan pameran di Muzium Negeri Terengganu. Pada tahun 1991, Jumaah Menteri telah memutuskan supaya Batu Bersurat dipulangkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

Pada 6 Julai 1991, jam 9.30 pagi suatu upacara penyerahan kembali Batu Bersurat kepada Kerajaan Negeri Terengganu telah berlangsung di Dewan Perjanjian, Tingkat 18, Wisma Darul Iman di antara Kerajaan Persekutuan yang diwakili oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Encik Ismail bin Adam dengan Kerajaan Negeri Terengganu kepada YAB. Dato' Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu.

Batu ini merupakan sebuah peringatan berbahasa Melayu yang terawal yang dijumpai di Semenanjung Malaysia berkaitan dengan pengistiharaan Agama Islam sebagai agama rasmi dan Undang-Undang Islam.

Memorial Batu Bersurat terletak di Kampung Buluh, Hulu Terengganu . Ia dibangunkan sebagai suatu Peringatan tempat penemuan Batu Bersurat. Batu Bersurat ini merupakan bukti tertulis tentang pengistiharaan Islam sebagai agama rasmi bagi Negeri Terengganu malahan di Semenanjung Malaysia.

Memandangkan tempat ini merupakan tapak yang begitu penting dalam pensejarahan negeri dan negara, adalah wajar ianya dibangunkan dan dijadikan sebagai suatu tempat kajian dan kunjugan penduduk negeri ini khasnya dan pelancong-pelancong amnya.

Adalah diharapkan dengan adanya Memorial ini lebih ramai pengkaji-pengkaji, peminat-peminat sejarah dan pelancong-pelancong akan berkunjung ke sini untuk melihat keadaan persekitaran tempat yang penting ini, disamping dapat membaca keterangan dan kenyataan yang terkandung pada Batu Bersurat.

Memorial ini direkabentuk empat persegi sama seluas 11400cm x 11400cm dan bertingkat tiga belas (13) termasuk replika Batu Bersurat yang melambangkan Rukun Iman dan jumlah daerah di Negeri Terengganu. Bahan binaannya terdiri daripada batu granite biasa dan granita hitam. Memorial ini dirasmikan oleh YAB. Dato' Sri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Terengganu pada 13 April, 1992.



Peristiwa Padang Kacung



Apabila Terengganu menerima penasihat British pada 24 Mei 1919, beberapa peraturan diperkenalkan termasuk pentadbiran tanah. Peraturan baru ini menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan penduduk khasnya di Telemung, Kuala Berang, Marang dan Dungun.

Ekoran meletus tentangan di tahun-tahun 1922-1928 dibawah pimpinan Haji Abdul Rahman Limbong dan berjaya menawan dan menduduki Kuala Berang pada bulan Mei 1928. Selepas itu, kumpulan tersebut dapat ditewaskan dalam pertempuran yang berlaku di Padang Kacung, Kuala Telemung dan 11 orang termasuk seorang pemimpinnya Tok Janggut terkorban. Akibat dari peristiwa tersebut, Haji Abdul Rahman Limbong dan beberapa orang pemimpinnya ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara.

0 comments:

Post a Comment